|
|
|
Personalities - Kemalangan menyebabkan hampir
keseluruhan badan melecur hingga hilang keyakinan dan sering rendah diri.
KEPAYAHAN hidup yang dilaluinya kala zaman kanak-kanak membuatkan wanita kental
ini lebih menghargai setiap peluang yang diterima terutama selepas dinobatkan
Ratu Universe Malaysia tahun lalu.
Dibesarkan dalam keluarga yang berpendapatan rendah dan cuma bapanya yang
bekerja bagi menyara keluarga, Joannabelle Ng |
Li Vun menjadikan keadaan itu sebagai pemangkin semangat serta usahanya
untuk membantu keluarga.
Justeru, wanita yang bakal berusia 22 tahun pada 24 Jun ini nekad bekerja dan
melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di kolej sejurus tamat menduduki
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2005.
"Saya tiada pilihan kerana bapa tidak mampu menanggung pembiayaan pelajaran
saya. Bapa bekerja sebagai mekanik, memperbaiki kereta dan penyaman udara di
bengkel berhampiran rumah kami.
"Gajinya pula tidak lebih daripada RM2,000 setiap bulan dan wang itu digunakan
untuk menyara keluarga.
"Sememangnya bapa saya tidak mampu membayar yuran pengajian yang mencecah
RM40,000 dan jika saya berkeras mahu teruskan pengajian, saya rasa tindakan itu
seperti membunuhnya.
"Jadi, saya ambil keputusan untuk bekerja bagi membantu keluarga. Selepas SPM,
saya menjalani Program Khidmat Negara. Tamat program itu, saya bekerja sebagai
jurusolek dan model sambilan.
"Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab memastikan adik-adik mendapat
pendidikan sebaiknya," ujarnya.
Namun, karier modelnya nyaris berkubur selepas Joannabelle terbabit dalam
kemalangan hingga menyebabkan wanita berasal dari Penampang, Sabah itu terbakar
tahap kedua dengan lecur hampir keseluruhan badan.
"Setiap kali keluar rumah, saya hanya memakai pakaian berlengan panjang dan baju
berkolar leher penyu (turtleneck) untuk melindungi kesan lecur itu.
"Insiden itu turut menyebabkan saya hilang keyakinan diri dan sering rasa rendah
diri kerana berasakan diri serba kekurangan," katanya.
Perkara itu berlarutan sehingga setahun hingga akhirnya Joannabelle bekerja
sebagai pegawai hartanah di sebuah bank tempatan, namun tidak lama selepas
terlihat iklan mencari Ratu Universe Malaysia edisi 2009.
"Saya hanya sempat bekerja di bank itu cuma lima bulan. Saya minta pelepasan
cuti tanpa gaji untuk menyertai pertandingan itu tapi tidak dibenarkan.
"Jadi, saya terus berhenti kerja walaupun ramai yang tidak bersetuju. Tapi,
keluarga amat memahami dan mereka terus menjadi penyokong setia saya," katanya.
Kejayaan Joannabelle dimahkotakan gelaran itu nyata membawa kembali keyakinan
dalam dirinya, sekali gus membuka lebih banyak peluang bagi meningkatkan
kehidupannya.
"Saya meletakkan sasaran untuk menjadi ahli perniagaan berjaya. Saya seorang
yang berorientasikan wang. Dalam usia muda dan gelaran yang ada, saya mahu
meraih sebanyak mungkin peluang untuk membantu keluarga.
"Saya baru berjinak-jinak dalam perniagaan dengan membuka spa di Kuala Lumpur
(KL). Saya harap dapat mengembangkan perniagaan dalam bidang berlainan,"
ujarnya.
Pada masa sama, kejayaan yang diraihnya itu akhirnya mencetuskan idea kewujudan
Jo-B Care, iaitu kempen mengumpul dana bagi membantu orang yang lebih
memerlukan.
"Saya faham dengan penderitaan dan kesusahan mereka kerana saya sendiri pernah
melalui saat itu. Saya tidak mahu menjadi ratu cantik yang hanya melakukan
aktiviti kemasyarakatan dalam tempoh setahun bergelar ratu.
"Selepas ratu baru dimahkotakan, ratu yang sebelumnya terus hilang dan tenggelam
tanpa sebarang aktiviti. Saya sebolehnya tidak mahu berada dalam kategori itu.
"Idea mengumpul dana ini sudah lama dirancang cuma kini saya baru dapat
merealisasikannya kerana tidak lagi terikat dengan acara rasmi sebagai ratu.
"Saya dan beberapa rakan pernah membawa 30 anak yatim ke restoran makanan segera
untuk makan tengah hari. Saya menangis apabila menyaksikan mereka makan
bersungguh-sungguh hingga ada yang berebut-rebut untuk mengambil hidangan rakan
lain.
"Perkara itu amat menyentuh perasaan saya. Saya pernah hidup dalam kekurangan
tapi mereka lebih susah daripada saya. Jadi, kempen Jo-B Care ini diharapkan
dapat membantu mereka yang memerlukan bagi meningkatkan kualiti hidup yang lebih
baik.
"Saya memulakan kempen ini kerana ingin melihat sejauh mana kemampuan saya
menganjurkan aktiviti kebajikan dalam skala besar.
"Gelaran sebagai Ratu Universe Malaysia memang memberi banyak kelebihan dalam
menjayakan kempen ini dan saya harap ia dapat menyuntik kesedaran kepada
masyarakat untuk tampil membantu projek ini," katanya.
Kempen Jo-B Care, sempena singkatan namanya, adalah projek bagi mengumpul dana
yang dicetuskan Joannabelle dengan kerjasama Fametis Management & Associates Sdn
Bhd. Hasil yang diperoleh dalam kempen itu kelak akan diagihkan kepada lima
persatuan kebajikan sekitar Selangor dan KL.
Berteraskan slogan Kongsi untuk Prihatin (Share to Care), kempen itu dianjurkan
dalam dua peringkat - satu terbuka untuk orang ramai, semalam (17 Jun) di
Pavilion dan satu lagi lebih kepada acara korporat pada 24 Jun ini menerusi
Malam Gala yang akan dipenuhi selebriti, ahli perniagaan dan barisan kenamaan.
Menerusi kempen pertama ini, Jo-B Care mensasarkan kutipan RM100,000 dan memilih
Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCASFT), Rumah
Victory, Persatuan Pencegahan Kekejaman ke atas Haiwan Selangor (SPCA Selangor),
Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman (Pernim) serta Persatuan
Ibu Tunggal Masmerah sebagai penerima dana.
Profil
- NAMA: Joannabelle Ng Li Vun
- ASAL: Penampang, Sabah
- TARIKH LAHIR: 24 Jun 1988
- TINGGI/BERAT: 174sm / 55kg
Antara Pencapaian
- Juara Pencarian Model Sabah (2004)
- Ratu Universe Malaysia (2009)
- Pengasas kempen kebajikan Jo-B Care (2010)
Source: Harian Metro
Author: Nor Faizah Mohamed
Date: June 18, 2010
|